Saturday, February 21, 2009

Makin kelam... hulurkan tanganmu!

Dalam keadaan ekonomi yang semakin sukar, hala tuju pun masih kabur, rasanya bukan saya seorang yang semakin keliru dan gelisah. Beban sedia ada sudah tak cukup tangan, bimbang bukan kepalang fikirkan masa depan makin suram. Saya bukan pakar ekonomi. Ilmu bisnes pun cuma lebih secubit daripada kering kontang. Tapi ingin juga bersuara dan kalau boleh ingin juga didengari. Ekonomi berdiri atas permintaan dan penawaran. Makanya bila tiada yang meminta, yang menawar loya-loya dan pening kepala. Harga diturun untuk menggoda, tapi kalau sudah habis untung dicukur, apa guna berniaga? Banyak sebab tiada yang meminta. Seluk kocek kiri, seluk kocek kanan, takkan nak dibayar dengan habuk? Ada juga yang poket tidaklah kosong tapi dirasakan baik disimpan saja duit yang ada, maklum sajalah, sampai bila ekonomi merudum pun tak boleh dinujum. Bila tiada yang meminta, jadi yang menawar pun jatuh tersembam. Yang menawar juga adalah yang meminta, maka bila yang menawar jatuh tersembam, tidak boleh lagi yang menawar jadi yang meminta, dan yang menawar kepada yang menawar pun akhirnya tidak mampu jadi yang meminta! Berbelit-belit? Hahaha... kalau yang itu memeningkan, baik jangan difikirkan soal ekonomi masa kini. Beribu-ribu telah hilang kerja. Beribu-ribu lagi cuma menunggu surat cinta dari majikan masing-masing.

Di kalangan kita ada yang bernasib baik, keadaan ekonomi sekarang tidak begitu menggigit. Malah ada yang lebih bernasib baik, andai kata ekonomi terus merudum pun masih lagi tidak tergigit. Persepsi umum adalah sektor awam tidak begitu terjejas. Kerana dengan izin Allah, tempoh hitam ekonomi ini tidak akan sampai ke tahap negara jatuh miskin papa kedana. Mungkin tidak tepat tapi itulah yang saya percaya. Sektor swasta sedang menggeliang-liut melepaskan diri dari cengkaman krisis ekonomi dan sektor awam mungkin ada jawapannya. Seperti pekerja swasta yang lain, saya perlu bekerja keras untuk mencari peluang. Kerana jika syarikat tersungkur bukan seorang dua yang merana. Saya meminta kepada mereka-mereka yang ada di kementerian, jabatan, agensi-agensi kerajaan serta GLC supaya bukalah pintu, dengarlah apa yang kami mampu tawarkan untuk faedah bersama.

No comments: